Domo-kun Cute

Followers

Friday, April 15, 2011

Dia Bukan Cinta Nombor Satu - Part 1


Bayangkan setiap 15 minit berlaku perceraian ... Begitulah rapuhnya rumah tangga umat Islam di Malaysia. Rumah tangga adalah benteng terakhir ummah, tempat bermulanya tapak generasi. Jika di situ sudah bermasaalah,  di tempat lain tidak dapat dibayangkan lagi.  Ada sahaja kisah suami yang curang, isteri yang beralih cinta. Kekadang anak telah dua, tiga dan empat... tetapi masih ingin memburu cinta. Ada yang memburu di alam nyata (menjejak semula kekasih lama atau terjumpa kekasih baru), ada yang memburu cinta di alam siber – bencinta lewat laman sosial internet yang serba maya.

Entah apa yang diburu oleh manusia ini... yang hidup di dunia tanpa menyedari hari kembalinya yang pasti ke akhirat. Di mana diletakkan Allah dalam peta cintanya sesama manusia. Suami yang ada dipersia, lelaki lain pula dicari sebagai ganti. Konon suaminya tidak bertanggung jawab, tidak romantik, tidak pandai membelai atau apa sahaja. Berikan nama yang buruk pada anjing dan bunuh saja! Begitu kata pepatah Inggeris. Apabila hati sudah berubah, segala kebaikan dahulu dilupakan. Ada pula, isteri yang di sisi sudah setia, perempuan baru pula diburu kononnya demi cinta sejati. Segala yang buruk-buruk dibongkar, dijadikan justifikasi untuk menghalalkan cinta baru yang digilai siang dan malam.

Manusia-manusia itu seperti kelkatu yang terbang menuju sumber cahaya. Sudah ramai yang terhantuk lalu jatuh bergelimpangan di lantai... namun kelkatu yang lain masih terus terbang menuju tempat yang sama. Tidak pernah ada yang mengambil iktibar daripada korban-korban yang telah bergelimpangan. Maka begitulah suami atau isteri yang tertipu ini, memburu cinta bagaikan kelkatu memburu cahaya...

Percayalah, tujuanmu tidak akan tercapai, bahkan akan terjadi kebinasaan. Namun dia degil, dia pergi jua. Percayalah, tidak akan ada ketenangan dan kebahagiaan di atas kesusahan, kezaliman dan penindasan terhadap orang lain (apatah lagi yang dizalimi itu isteri atau suami atau anak-anak mu sendiri). Allah benci orang zalim! Dan kebencian itu sudah cukup untuk menyebabkan penderitaan seumur hidup.

Mengapa kau zalimi anak mu, isteri atau suami mu? Apakah dosa mereka terlalu besar hingga kau tidak sudi lagi memaafkan? Apakah kau tidak menyedari bahawa pasangan mu adalah cermin kepada diri mu sendiri? Maksudnya, siapa pasangan kita ditentukan juga oleh siapa kita  yang sebenarnya? Dirimu dan pasanganmu saling mencorakkan. Ketika palitan hitam kau katakan ada pada wajahnya, sedarkah engkau bahawa kau juga yang pernah melakarkannya? Jadi, bertanggung jawablah. Jangan lari. Binalah semula rumah tangga mu... kerana cinta yang ada di tanganmu kini adalah nyata, manakala yang kau buru itu mungkin hanya fotomorgana.

Bagi suami atau isteri yang ditinggalkan... sedarkan dia. Doakan dia. Berusahalah sedaya mungkin untuk 'mengembalikan' dia kepada cinta yang nyata. Namun kalau dia berdegil, biarlah dia pergi. Hidupmu terlalu singkat untuk 'dirosakkan' oleh dia seorang. Ingat dia itu bukan cinta nombor 1!

Nombor 1 Allah. Nombor 2 Rasulullah. Nombor 3, suami). Itulah turutan cinta seorang wanita bernama isteri, (jika  pada lelaki, nombor 3 itu ibu, no 4 itu apa, no 5 baru isteri). Agar tidak menderita, jagalah turutan cinta ini. Yang dahulu, wajar didahulukan. Yang kemudian, mesti dikemudiankan. Jangan disusun cinta itu begini... Nombor 1 suami. Nombor 2 suami. Nombor 3 pun suami. Ini tindakan yang bakal mengundang kecewa.
Jangan pinggirkan Allah kerana Dia yang mengurniakan rasa cinta. Jangan dilupakan Rasulullah kerana dia yang memberi panduan untuk bercinta. Ingat pesan Rasulullah melalui sabda Baginda dalam hadis riwayat al-Tirmizi yang bermaksud:

"Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang, tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya."

"Jika" hanya "jika". "Jika" akan kekal sebagai "jika". Ia tidak pernah berlaku. Seorang wanita tidak boleh menyembah manusia lain sekalipun suaminya sendiri. Sebaiknya, cintailah suami dengan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah kerana Allah. Itulah resepi untuk bahagia dalam bercinta!

Betapa ramai isteri yang kecewa akibat ditinggalkan suami yang dicintai. Sama ada dipisahkan oleh mati atau oleh sikap suami yang tidak mencintainya lagi. Bayangkan apabila segala-galanya untuk dan kerana suami, apabila suami tidak ada lagi, putus harapan dan berserabutlah fikiran. Ramai yang sudah menerima nasib begini... Bayangkan setiap 15 minit, berlaku satu perceraian. Siapakah yang menempuh gerbang perkahwinan dengan harapan untuk bercerai? Tidak mungkin ada!

Mukadimah Penentu Natijah

Perkahwinan dibina dengan harapan. Untuk mencapai harapan, tidak cukup dengan rasa cinta. Ia perlukan tanggungjawab. Kata bijak pandai, sesuatu akan berakhir mengikut bagaimana ia bermula. Mukadimah banyak menentukan natijah. Untuk mengekalkan cinta sampai ke hujung (hujungnya di syurga), mesti diperkukuh dari pangkalnya. Perkahwinan dimulakan dengan percintaan, tetapi disempurnakan dengan tanggungjawab. Dan sebaik-baik cinta ialah cinta yang didasarkan oleh tanggungjawab. Sebab itu ahli bijaksana mendefinisikan cinta sebagai "rasa ingin bertanggungjawab kepada seseorang".

Janganlah hendaknya cinta dan rumah tangga dibina hanya sekadar untuk memenuhi kehendak fisiologi dan biologi. Itulah cinta yang diilhamkan oleh Tuhan untuk haiwan (demikian kata al-Farabi). Juga bukan untuk mengejar status sosial. Jika rumah tangga hanya dibina untuk makan minum, perlindungan (rumah), pengangkutan (kereta), berkelamin (seks), kawan (sosial), kesihatan dan penghargaan diri (ego), apa bezanya cinta kita dengan cinta haiwan. Itu cinta kelas kedua.

Jika itulah bentuk cinta kita, itu hanya cinta alat bukan matlamat. Cinta kelas kedua mesti dibawa kepada cinta kelas pertama. Pandang wajah suami kita, bolehkah dia membawa kita kepada cinta Allah? Renung mata isteri kita, apakah dia teman kita menuju Allah? Jika ya, alhamdulillah, syukur. Kita sudah berada di jalan yang betul. Maka melangkahlah dengan yakin walau terpaksa menempuh pelbagai kesusahan.

Jika belum, berusahalah, berdoalah... agar dia mampu juga. Jika tidak hari ini, esok. Jika tidak esok, lusa. Teruskan berusaha dan berdoa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...