Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat. (Hamka)
Sememangnya cinta itu sering kali dikaitkan dengan keindahan, dan sering sahaja mengundang senyuman. Ada yang sanggup memperjuangkan cinta sehingga sanggup pula melepaskan yang dimiliki demi mengejar cinta. Lihat sahaja paparan di media pada hari ini, tataplah berita di kaca televisyen dan internet, bacalah berita di akhbar dan majalah.
Apa yang sering dikaitkan dengan keruntuhan nilai akhlak remaja? Sudah pastilah kerana cinta yang diagung-agungkan sehingga sanggup pula lari dari rumah meninggalkan ibu bapa yang telah banyak berkorban. Hanya kerana cinta, manusia sering saja menghalalkan yang sudah termaktub haramnya. Bukankah sejak di awal usia, kita sering kali diberitahu bahawa penzinaan dan menghampiri zina itu tetap HARAM hukumnya?
Barang siapa yang cintakan sesuatu, maka dia akan menjadi hamba kepada yang dicintainya. Barang siapa yang mencintai sesuatu, maka dia banyak menyebutnya, mengingatinya, dan memikirkannya (Ibnu Ata'illah – Kitab Al-Hikam )
Bukan salah cinta itu hadir dalam diri setiap manusia. Tetapi salah manusia yang tidak pandai, tidak cekap menguruskan perasaan cinta yang hadir. Benarkah cinta yang dirasakan jika kita sanggup mengetepikan cinta kita kepada Allah, cinta kita kepada Rasul, cinta kita kepada Islam, dan cinta kita kepada ibu bapa?
Bukankah cinta itu jauh lebih mulia daripada cinta yang kita sanggup agung-agungkan. Percayalah, setiap rasa cinta yang hadir sehingga kita mengetepikan soal halal dan haram itu tidak lebih sekadar cinta yang berajakan NAFSU. Ya Allah, jauhkanlah kami daripada mengulit mimpi indah dalam cinta yang semakin hari semakin menjauhkan kami daripadaMu.Tuntunlah hati ini untuk mengenali cintaMu, mendahulukan cintaMu, dan tidak menduakan cintaMu.
Mana mungkin rasa cinta ini,
ku curahkan untuk lelaki yang telah lupa,
Lupa pada cintanya pada pemilik cinta,
Mana mungkin rasa cinta ini,
ku serahkan kepada lelaki yang kedekut,
Kedekut untuk mengucapkan ayat-ayat cintanya pada pemilik cinta,
Mana mungkin cinta ini,
ku amanahkan buat seorang lelaki yang culas,
Culas dalam melaksanakan amanah pemilik cinta,
Mana mungkin ku merasa bahagia,
Jika aku menjulang-julang peminjam cinta,
Tapi mengetepikan pemilik cinta.
Berkali kita diingatkan. Lahir sahaja di dunia, menjengah alam telah pun diazan dan diiqamahkan. Cinta kepada Allah, adalah cinta yang agung dan suci. Cinta yang sebenar-benarnya menuntut kesabaran, ujian iman, dan ketaqwaan. Cintailah Allah, dan Allah akan memelihara cinta yang tersulam indah sesama manusia.
Allah swt berfirman: "Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil." (Sahih Bukhari)
No comments:
Post a Comment