Domo-kun Cute

Followers

Monday, December 12, 2011

Cinta Nan Satu


Cinta merupakan ungkapan yang sering kali meniti di bibir terutamanya di kalangan remaja. Dari mana datangnya cinta, dari mata, turun ke hati. Cinta datang tanpa diduga. Bagi yang mabuk dilanda cinta, bakawali yang pahit pun terasa gula kerana keseronokan dibuai perasan, apatah lagi jika cinta pandang pertama. Sehebat itukah cinta?

Alangkah indahnya jika cinta tersebut berakhir ke jinjing pelamin. Tetapi bagaimana pula sekiranya ditakdirkan terputus di tengah jalan? Bagi yang beriman segala-galanya dihadapi dengan tenang dan menganggapnya dugaan daripada Ilahi. Namun bagi yang terlalu mengikut mainan perasaan, ada yang sanggup melakukan apa sahaja demi cinta. Hinggakan ada yang sanggup membunuh diri dan ada pula yang tergamak berbunuhan apabila api cemburu menguasai diri.

Detik 14 Februari setiap tahun, sering kali menjadi ingatan dan disambut oleh pasangan yang bercinta. Bagi segelintir golongan, tarikh tersebut lebih mudah diingati berbanding hari-hari kebesaran Islam. Huluran kad, jambangan bunga, bertukar-tukar hadiah dan sebagainya menjadi agenda utama pada hari tersebut. Luahan perasaan sebagai tanda semarak kasih sehinggakan ada yang melanggar batasan agama. Namun sedarkah kita sambutan hari valentine yang diadakan saban tahun bukanlah budaya Islam sebaliknya merupakan suntikan halus musuh-musuh Islam yang melanda muda-mudi Islam kini. Sambutan tersebut adalah sebagai tanda mengingati kematian seorang paderi bernama Saint Valentine. Sambutan Hari Valentine juga dikatakan bersamaan hari keruntuhan kerajaan agung Islam Andalusia di Sepanyol iaitu pada 14 Februari 1492. Masih sanggupkah kita menyambutnya walaupun setelah diketahui sejarah bermulanya sambutan valentine tersebut? Bukankah kita menzalimi diri sendiri dan mencalarkan maruah Islam? Yang akan datang. Sesungguhnya sia-sia sahaja mempunyai ilmu tetapi tidak berakhlak.

Ajaran Islam menekankan konsep cinta dan kasih sayang tanpa menentukan pada hari-hari- tertentu, bahkan sentiasa dituntut supaya mengamalkan kasih sayang dalam kehidupan. Selagi jantung berdenyut, selagi itulah ikatan cinta semasa insan tidak terputus. Cinta terhadap Allah, Rasul, ibu bapa dan seumpamanya perlu dipraktikkan dalam kehidupan bukan sekadar bagi pasangan yang sedang dilanda cinta sahaja. Cinta seharusnya menjadikan seseorang itu hebat dan bukannya lemah! Kehebatan cinta dapat dibina antaranya menerusi:

1. Cinta Terhadap Allah S.W.T

Cinta terhadap Allah SWT mengatasi segala-galanya. Tidak ada ruginya mencintai Allah SWT kerana kita sudah pasti akan dicintai dan mendapat ganjaran pahala di sisi-Nya. Mencintai Allah menjadikan seseorang itu sentiasa mengingati Allah dengan melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang. Sebagai seorang remaja yang masih di alam persekolahan pembersihan jiwa sebegini akan memudahkan daya ingatan untuk mengingati pelajaran terutamanya yang melibatkan hafalan al-Quran, hadis dan sebagainya dengan berpaksikan kecintaan terhadap Allah SWT.

2.Mencintai Rasulullah S.A.W

Cintai Rasulullah SAW dengan menjadikan uswah hasanah dalam kehidupan. Rasulullah merupakan contoh ikutan terbaik dalam seluruh aspek kehidupan. Sepanjang kehidupannya, Rasulullah merupakan anak, suami, bapa dan datuk yang cemerlang. Mencintai Rasulullah SAW menjadikan seseorang itu hebat dalam segenap kehidupan terutamanya dari segi keunggulan akhlak. Ini dinyatakan dengan jelas menerusi firman Allah SWT yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balsan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
                                                                                                                                                (alAhzab:21) 

3.Cintai Ibu Bapa  

Ibu bapa merupakan insan yang patut dicintai sepanjang hayat. Bermula daripada kedua-duanya kita dilahirkan ke dunia ini. Janganlah disebabkan kecintaan kita terhadap pasangan sama ada sebelum atau selepas berkhwin menyebabkan berkurangnya kasih sayang kita terhadap orang tua tercinta. Imam Ghazali telah menggariskan 13 panduan berbuat baik terhadap ibu bapa iaitu:

*Mendengar kata-kata/nasihat mereka
*Berdiri apabila mereka berdiri kerana menghormati
*Taat perintah mereka selagi tidak disuruh melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT
*Tidak melintas di hadpan mereka, tetapi hendaklah berjalan di sisi atau di belakang kecuali atas perintah mereka untuk maksud tertentu
*Tidak meninggikan suara melebihi suara mereka
*Menjawab panggilan mereka dengan suara yang lembut
*Sentiasa memelihara dan merawat apabila mereka sakit. Jangan sampai melakukan sesuatu yang melanggar keredhaan mereka baik dalam sikap, perkataan ataupun perbuatan
*Merendah diri dengan sopan dan lemah lembut serta sentiasa berusaha meringankan beban mereka
*Tidak melakukan sesuatu kebaikan kepada mereka berdasarkan membalas jasa melainkan berasaskan kewajipan demi keredhaan mereka dan Allah SWT
*Tidak memandang mereka dengan menjeling, mengerling, marah atau masam muka
*Tidak bermuram hati/berdukacita apabila menghadapi wajah mereka
*Tidak keluar rumah sama ada jauh atau dekat kecuali dengan izin mereka
*Memupuk kasih sayang dan toleransi dalam keluarga

4.Cinta Terhadap Pasangan

Bagi pasangan suami isteri, semarakkan perasaan cinta bagi memantapkan dan menyuburkan ikatan perkahwinan ke arah melahirkan keluarga yang bahagia. Kehebatan cinta yang dibina menjadi daya motivasi menghasilkan produktiviti kerja yang lebih berkesan.

Bagi pasangan bercinta yang belum berkahwin jadikanlah ikatan kasih sayang tersebut motivasi bagi mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dalam kehidupan. Perasaan cinta tersebut perlulah selari dengan kehendak Islam dan pastikan tidak melanggar batas-batas agama. Tidak salah bercinta namun elakkan bercinta di usia yang terlalu muda (ketika alam persekolahan). Bercinta ketika di alam persekolan lebih banyak mengundang kekecewaan, penderitaan dan ada kalanya menjejaskan masa depan pelajar. Nafsu muda ada kalanya lebih banyak godaan dan ada kalanya kecundang ke arah kemaksiatan. Hayatilah firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk (yang membawa kerosakkan).”
                                                                                                                                                  (al-Isra’:32)

Becintalah di saat diri benar-benar bersedia untuk berkahwin setelah memiliki kerjaya yang mantap, berkemampuan dari segi mental dan fizikal, bukannya sekadar cinta mainan. Binalah cinta yang hebat, sudah pasti bahagia di dunia dan akhirat. Itulah yang dikatakan cinta!

“Sambutan Hari Valentine juga dikatakan bersamaan hari keruntuhan kerajaan agung Islam Andalusia di Sepanyol iaitu pada 14 Februari 1492.”

Nota:Jadi janganlah kita sambut Hari Valentine kerana ianya menunjukkan kita sambut kejatuhan kerajaan Islam sendiri.Cinta bukan untuk mainan atau dipersendakan tetapi untuk membina kebahagiaan suami isteri.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...