Rintikan renyai-renyai hujan di luar sudah pun kering, langit sudah pun puas menangis, pepohon hijau riang menari sambil dipuput bayu yang berhembus lembut. Pelangi pula tidak mahu ketinggalan menceriakan suasana. Sungguh indah fatamorgana Tuhan.
Namun suasana sudah tidak seindah dulu, kini gurunya sudah tidak bermaya di atas katil usangnya. Membilang bilah-bilah hari tamatnya usia. Ada sesuatu yang ingin dikongsi bersama anak muridnya yang dicintai sebelum nyawa terbang bersama memori-memori yang sudah terlakar indah.
"Wahai anak muridku, lama kita tidak berjumpa, ku harap pertemuan ini bakal menjadi satu lagi detik-detik indah kita bersama. Mungkin, ini merupakan pertemuan terakhir kita kerana aku tidak tahu bila nyawa akan berpisah dari sekujur jasadku ini, doktor sudah mengesahkan bahawa penyakitku ini tiada penawar, cuma saat kematian sahaja boleh ditangguhkan masanya melalui ubat-ubatan yang diberikan. Sebelum melelapkan mata, aku ingin berkongsi rasa dan pengalaman bersama anak muridku yang kucintai agar menjadi pedoman kepadamu.."
"Baiklah 'sifu'... saya sedia mendengarnya... bukankah dahulu juga saya merupakan pendengar yang setia?"
"Baiklah, kehidupan ini umpama sebuah perlawanan di antara dua musuh yang saling bermusuhan. Seorang berjuang kerana kecintaanya kepada agama, keluarga serta kekasihnya namun seorang lagi berjuang kerana inginkan kemegahan di mata masyarakat, kamu rasa siapakah akan menjadi pemenangnya?" tanya guru itu kepada anak muridnya.
"Entahlah, saya rasa kedua-duanya mempunyai matlamatnya yang tersendiri dan pada hemat saya kedua-duanya ada peluang untuk meraih kemenangan."
Guru tua itu tersenyum bersama seribu kedutan di raut wajahnya yang semakin lesu.
"Kasih sayang akan menang, kasih sayang sentiasa akan menang. Yusri, mungkin kamu pelik tentang keprihatinan saya pada orang yang saya tidak kenal, tetapi saya banyak belajar bahawa perkara paling penting dalam hidup adalah belajar bagaimana hendak memberi kasih sayang dan menerima kasih sayang."
Dengan nada separuh berbisik, "Dengar sini anak muridku, biarkan kasih sayang datang. Kita sangka kita tidak layak menerima kasih sayang, kita juga sangka bahawa jika kita menerima kasih sayang kita dianggap lembut. Tetapi seorang ahli pemikir hebat pernah berkata, kasih sayang adalah satu-satunya perbuatan yang wajar."
"Ingat itu wahai anak muridku. Biarlah setinggi mana pangkat kita, jangan sesekali abaikan kasih sayang, jangan kerana 'material' dan wang ringgit kasih sayang kita gadaikan, sehingga jiwa kita menjadi terlalu rakus dalam mengecap segala kemewahan dan kekayaan. Ini boleh menyebabkan jiwa kita gersang dan kosong apabila yang dihajati tidak dikecapi dan dimiliki. Seorang tokoh terkemuka pernah berpesan, saling sayang-menyayangilah kamu sesama manusia atau hidup ini tidak bermakna lagi."
Cintailah Allah maka hidupmu sentiasa berada dalam Maghfirah,
Cintailah Rasul maka ketenangan dan kebahagiaan akan menyusul,
Cintailah Ibu bapa maka ia akan membawamu ke alam Syurga,
Cintailah Sahabat maka hidupmu akan beroleh berkat berkat,
Cintailah Ummah maka matlamatmu akan lebih terarah,
Cintailah Kecemerlangan maka kamu akan dapat apa yang kamu impikan.
Anak muridnya itu cuba bertanya kepada gurunya bahawa adakah dia sedih akan nasibnya itu?
Dengan tenang gurunya menjawab, "Kadang-kadang, terutama pada sebelah pagi. Itulah masanya aku meratapi nasib diriku sendiri. Aku akan bersedih apabila menemui anggota badanku yang sudah tidak berfungsi lagi. Aku meratapi kerana proses kematian yang lambat dan menyeksakan. Tetapi aku sedar bahawa semua orang akan mati, cuma kekadang kita terlupa bahawa kita akan mati. Dunia sudah pandai menggunakan helahnya untuk memperdayakan manusia yang menyangkakan mereka seolah-olah akan tinggal di dunia ini buat selama-lamanya. Namun, selepas itu aku akan berhenti bersedih."
"Begitu sahaja?"
"Ya, aku akan menangis sepuas-puasnya apabila perlu. Tetapi aku akan tumpukan kembali kepada nilai-nilai murni yang masih ada dalam kehidupanku ini. Kepada orang-orang yang menziarahi diriku, kepada cerita-cerita yang aku lihat dan dengar. Aku tidak akan membiarkan diriku ini bermuram lebih daripada itu. Fikir sejenak pada sebelah pagi dan sedikit air mata, itu sahaja."
"Guru, pentingkah di ambang pintu maut ini, guru masih mahu mendengar keluhan dan rintihan orang lain?" tanya anak muridnya.
"Sudah tentu! Dengan memberi kepada orang lainlah membuatkan aku merasa hidup. Bukan kereta ataupun rumah aku yang memberi aku kebahagiaan hakiki. Tetapi apabila aku membuatkan orang lain tersenyum setelah mereka bersedih, itulah yang menjadikan aku sihat. Hidup kita ini untuk memberi, buatlah kebaikan yang datang daripada sekeping hati yang murni, nescaya kamu tidak akan merasa tidak puas hati. Kamu tidak akan merasa iri hati. Sebaliknya kamu akan terpegun dengan apa yang akan datang kepada kamu dengan sendiri."
Sebelum pulang anak muridnya itu sempat memeluk dan mencium pipi gurunya itu dengan penuh keinsafan dan limpahan kasih sayang. Biarpun sudah lama tidak bersua, namun ikatan antara mereka berdua sentiasa mekar kerana ia dibajai dengan kasih sayang dan dilingkari dengan keikhlasan.
Petang itu, semuanya bergerak perlahan, seolah-olah dunia terhenti seketika, beburung sayu mengalunkan melodi syahdu, sang pawana pula asyik membelai-belai lembut pepohon rendang dan bumi seolah-olah terpaku dengan kata-kata seorang murabbi kepada anak muridnya.
Semuanya menjadi saksi detik terakhir, kalam terakhir, nasihat terakhir, daripada seorang guru kepada anak muridnya yang dicintai. Oleh itu hargailah pengorbanan seorang guru yang persis hayatnya seperti sebatang lilin yang membakar diri demi menerangi orang lain.
'Pengaruh Seorang Guru Adalah Abadi, Dia Tidak Akan Tahu Bila Pengaruhnya Akan Berakhir'
No comments:
Post a Comment