1) Kenal pasti “prime time” dan “masa-masa penat” anda.
-Setelah mengesannya gunakan masa itu untuk tugas yang paling penting dan paling memerlukan tumpuan. Katakanlah, tugas penting kita ialah menyiapkan persediaan mengajar dan “prime time” kita ialah waktu pagi. Maka gunakan waktu pagi untuk menyiapkan persediaan mengajar. Bukannya dihabiskan untuk membaca surat khabar. Sebaliknya, aktiviti-aktiviti kurang penting boleh dibuat pada “masa-masa penat”. Jadilah pengintip kepada masa depan anda!
2) Kesan “musuh” bagi masa anda
-Musuh kepada masa anda berpunca daripada anda sendiri atau orang lain. Kaji, apakah yang selalu membunuh masa anda. Mungkin berbual-bual kosong, melakukan panggilan telefon atau menjawab panggilan telefon secara “maraton”, melayani tetamu yang tidak diundang, tidur atau rehat yang tidak perlu. Caranya adalah dengan menguatkan disiplin diri dan membina kemampuan untuk menolak dan mengatakan tidak. Jika kita belajar menghormati masa kita, insya-Allah orang lain akan menghormati kita.
3) Tetapkan satu jangka masa yang sesuai pada sesuatu kerja.
-Bagi membatasi masa perbualan telefon, senaraikan perkara yang hendak diperkatakan dahulu. Setelah perkenalan dan ramah mesra secara ala kadar, terus kepada perkara yang hendak disampaikan.
Bagi menjawab surat-surat peribadi, disiplinkan diri anda untuk melihatnya sekali sahaja dan terus menjawab. Jika anda ketua teruslah memberi arahan yang sesuai untuk dijawab oleh orang bawahan jika keputusan sudah boleh dibuat. Jangan melihat surat dua atau tiga kali tanpa menjawabnya. Ia membuang masa dan menambah rasa kurang selesa kerana belum menjawabnya. Begitu juga dengan pertemuan atau mesyuarat, tentukan had masa, perkara, orang yang hadir dan keputusan yang hendak dicapai.
4) Buat checklist pada penggunaan masa
-Bila kita ingin membeli-belah, “check-list” barang-barang dan anggaran harganya amat perlu untuk mengawal diri anda daripada godaan membeli barang-barang yang tidak perlu. Ini penting untuk mengelakkan pembaziran wang. Begitulah seharusnya dalam “perbelanjaan” masa.
Kita harus ada check-list tentang apa yang perlu kita buat mengikut keutamaannya untuk mengelak daripada pembaziran masa. Ingat, masa lebih berharga daripada wang. Sayangnya, pembaziran masa sukar dirasakan berbanding pembaziran wang kerana sifat masa yang maknawi (tidak dapat dilihat). Sebab itu, jarang ada orang yang membuat cheak-list perbelanjaan masa!
No comments:
Post a Comment